Tuesday 28 April 2009

Diari Dari Al Haramain


Alhamdulillah, masih diizinkan Allah untuk berkongsi pengalaman hidup setelah hampir tiga minggu blog ini sunyi dari menerbitkan sebarang artikel.Artikel “Lambaian tanah Suci” di catit pada malam sebelum berangkat ke Alharamain.Syukur pada Ilahi yang menerima penulis bersama 20 orang sahabat dari Darul Quran untuk bertandang kerumahnya di Baitul Haram.Tatkala kaki melangkah ke tanah Arab,mengalir air mata menyatakan syukur kerana tidak disangka hamba yang hina dijemput jua menghampiri rumahnya.Ditanah Arab penulis berada di Madinah 3 hari dan di Makkah 10 hari.Perjalanan dari Jeddah menaiki bas memakan masa 5 jam untuk ke Madinah, dalam perjalanan majoriti di kalangan sahabat yang lena kerana keletihan, namun hati ini tidak mampu terlena kerana tertanya-tanya, di manakah mulanya tanah Madinah.Namun hajat tak jua kesampaian disebabkan “Mutawif”(jurupandu program umrah & ziarah) juga terlena.

Tiba di Madinah, Bandar yang nama asalnya Yathrib pada jam 3.30 pagi ketika azan subuh hampir berkumandang.Ketika kaki melangkah menyahut azan subuh, terpandanglah menara Masjid Nabawi yang dihiasi lampu yang berkialauan, mengalir air mata bagaikan tidak percaya Allah menghantar penulis ke sana.Disitulah terdapatnya “Raudah” tempat himpun doa dan terletaknya makam Rasulullah S.A.W bersama Abu Bakar dan Umar.Penulis menziarahi makam Rasulullah S.A.W ditemani hati yang sayu mengenangkan pahit manis perjuangan Rasulullah S.A.W sehingga ke akhir hayat.Melawati ke Bukit Uhud meluaskan lagi ilmu tatkala diceritakan oleh Mutawif kisah peperangan Uhud sambil menunjukkan posisi-posisi tentera Uhud.Disitulah syahidnya 70 syuhada yang di ketuai Hamzah B. Abd Muthalib, Mush’ab B. Umair dan Abdullah B. Jahsy.Moga kita juga syahid sepertinya.Cerita Muqabalah pula Alhamdulillah, ditanyakan beberapa soalan sahaja kepada calon dan semuanya berjaya menjawab dengan baik.Kiranya disanalah medan ilmu yang baik bagi penulis, moga Allah menghantarkan penulis ke sana, dan kiranya sebaliknya, moga digantikan Allah dengan tempat yang lebih baik.Diantara tempat-tempat yang dilawati masjid Quba, Masjid Qiblatain,Masjid Tujuh(tempat peperangan Ahzab),dan lain-lain tempat.

Penulis bersama sahabat menuju ke tanah Suci setelah 3 hari berada di Madinah dalam hati yang sayu terpaksa meninggalkannya, namun bibir tersenyum gembira kerana kutinggalkan Madinah kerana menuju ke rumah Allah.Alangkah gembiranya tatkala kaki melangkah ke Masjidil Haram, apatah lagi ketika pandang pertama terhadap Ka’bah.Sewaktu Sa’ei antara Safa dan Marwah, penulis merenung tempat yang berhampiran Ka’bah, disitulah tempat Nabi Ismail ditinggalkan ibunya Hajar untuk mencari air kepada anaknya.Peritnya perjuangan Hajar berulang-alik dari dua bukit kerana anak yang disayangi, namun pencariannya hampa, tapi kuasa Allah menggantikan baginya sesuatu yang istimewa, Air Zam Zam yang takkan surut walau berjuta orang yang menimbanya.Kelihatan manusia yang keletihan ketika Sa’ei, ada yang berhenti berehat, minum air dan sebagainya, renungilah pengorbanan Hajar yang berlari di bawah panas terik yang dihampar tanah padang pasir tanpa setitis air yang menghilangkan dahaganya.Berbeza dengan hari ini manusia berlari di lantai marmar dibawah angin kipas, rugilah siapa yang tidak mengambil pengajarannya.Moga Allah menjadikan kita setabah Hajar.

Tatkala menghampiri dinding Ka’bah di Multazam hati menangis menyaksikan dinding Ka’bah yang basah dengan air mata munajat hambaNya.Disitulah Nabi berdoa dengan meletakkan tangan di atas kepala dan merapatkan muka ke dinding Ka’bah, beruntunglah manusia yang berusaha mengikuti sunnah itu.Pendakian ke Gua Hira dan Gua Thur mengukuhkan lagi hati yang rapuh untuk meneruskan perjuangan yang diasaskan Rasulullah S.A.W., betapa hebat Rasulullah S.A.W menyusun strategi di Gua Thur untuk berhijrah ke Madinah demi Islam yang telah sampai kepada kita hari ini.Begitu banyak pengalaman yang ingin dikongsi, namun perkongsian dari coretan ini tidaklah sehebat pengalaman yang dirasai.Antara tempat yang sempat diziarahi penulis, Jabal Rahmah, Hudaibiyyah, Ladang Kurma, Ladang ternak Unta, Mina, Arafah, dan lain-lain.Walau apepun, Masjidil Haramlah tempat yang jangan sesekali kita berjauhan dengannya ketika berada disana kerana disitulah terletaknya Baitullah.Pesanan penulis buat sahabat, rebutlah peluang di usia muda untuk merayu ampun di tanah suci dan melihat keagungan ciptaan Ilahi.Usah merasakan mustahil kerana kita miskin, kerana yang kaya dengan duit berjuta-juta sekalipun andai Allah tidak mengundangnya, tidak juga mereka sampai, namun andai Allah ingin mengundang kita sebagai tetamunya, pasti terpijak jua kaki kita ke sana walau kita papa kedana.Yang pasti, sentiasalah beroa pada Ilahi agar dihantarkan kita ke tanah Suci seawal mungkin.Janganlah Allah takdirkan ini ialah kali pertama dan terakhir untuk penulis ke Tanah Suci.Moga kita terus Istiqamah di medan juang.
Share on :

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright PAHLAWAN AGAMA 2011 - Some rights reserved | Powered by Blogger.com.
Template Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates and Theme4all